J O M U M R A H

Syaza Travel & Tours Sdn Bhd

DAM Haji dan Umrah - Syaza Travel & Tours Sdn Bhd

DAM Haji dan Umrah

April 5, 2024 fara 0 Comments

Jenis-jenis Dam (Denda) Haji dan Umrah

Dam ialah bayaran denda yang perlu dibayar kepada jemaah yang mengerjakan haji atau umrah. Hal ini terjadi kerana Jemaah meninggalkan perkara-perkara wajib haji atau umrah, melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam perlakuan ibadah haji dan umrah, sama ada perkara ini dilakukan secara sedar, tidak sedar atau kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara tersebut. Bagi mereka yang mengerjakan badal haji dan umrah, perkara ini turut terpakai kepada mereka.

Dalam Mahzab Syafie, denda satu dam adalah bersamaan dengan satu ekor kambing dan daging sembelihan tersebut perlu disedekahkan atau individu tersebut harus berpuasa selama 3 hari ataupun memberi makanan kepada 6 orang miskin, dimana setiap seorang diberikan sebanyak setengah gantang.

JENIS-JENIS DAM

Terdapat empat jenis dam, iaitu:

Dam Tertib Takdir :

Maksud tertib iaitu membayar satu dam yang ditetapkan dan jika tidak berkemampuan, perlu membayar dam mengikut syarat berikutnya yang telah ditetapkan. Takdir merujuk kepada kadar dam yang telah ditentukan oleh syarak. Sebagai contoh, jika seseorang individu tidak melakukan rukun haji berihram di Miqat, hendaklah ia membayar dam dengan cara menyembelih seekor kambing. Sekiranya tidak mampu, hendaklah individu tersebut berpuasa selama 10 hari (dimana 3 hari itu termasuk dalam masa haji dan 7 hari apabila individu tersebut telah pulang ke tempat bermastautinnya, sekiranya mempunyai keuzuran kerana sudah tua, maka wajib ke atas individu tersebut bersedekah secupak makanan ruji penduduk setiap hari selama sepuluh hari (10 cupak). Jika tidak berdaya juga, maka terlepaslah zimmah (tanggungjawab) ke atasnya

Dam Tertib dan Takdil :

Takdil memberi erti kepada situasi dimana seseorang tidak mampu mengeluarkan sedekah berbentuk makanan, hendaklah digantikan dengan berpuasa bagi individu tersebut. Contohnya, sepasang suami isteri melakukan persetubuhan ketika dalam ihram, maka si suami perlu membayar dam iaitu qurban seekor unta, jika tiada kemampuan, dia perlu menyembelih seekor lembu, jika masih tiada kemampuan maka dam hendaklah digantikan dengan jumlah qurban tujuh ekor kambing. Jika dia tidak berkemampuan dia perlulah membeli makanan dengan bersamaan dengan nilai seekor unta hasil sembelihannya diedarkan kepada golongan fakir miskin di Tanah Haram. Jika masih juga tiada kemampuan, individu tersebut perlu berpuasa sejumlah hari yang bersamaan dengan bilangan cupak makanan yang boleh dibayar dengan harga seekor unta.

Dam Takhyir dan Taqdir :

Memberi maksud ketetapan kepada barang yang boleh diganti. Sebagai contoh, jika seseorang individu memakai pakaian yang dilarang dalam ihram atau menutup kepala (bagi lelaki), memotong kuku, atau menggugurkan rambut dengan sengaja, maka dam yang dikenakan adalah dengan perbuatan menyembelih seekor kibas (atau kambing atau 1/7 bahagian unta). Sekiranya tidak mampu, boleh juga bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan ruji mereka setiap seorang. Sekiranya tidak mampu, individu tersebut perlu berpuasa selama tiga hari.

Dam Takhyir dan Takdil :

Takhyir ertinya boleh memilih satu daripada perkara-perkara yang telah ditetapkan. Contohnya, sekiranya individu tersebut memburu binatang yang halal dimakan ketika dalam ihram, atau mencabut pokok atau tanaman, dam yang dikenakan ke atas mereka ialah mereka perlu menyembelih binatang setimpal dengan binatang yang telah mereka buru. Jika rusa, nilai setimpal dengannya adalah lembu, jika kijang, nilai setimpal dengannya dan seterusnya. Jika tiada kemampuan, individu tersebut haruslah membeli makanan ruji makanan penduduk tempatan dengan standing dengan nilai harga binatang buruan tersebut dan daging qurban itu perlu dibahagikan kepada fakir miskin di Makkah. Dan jika tidak berkemampuan, maka individu tersebut hendaklah berpuasa selama beberapa hari, sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan harga nilainya iaitu satu cupak satu hari.

leave a comment