J O M U M R A H

Syaza Travel & Tours Sdn Bhd

Umrah secara DIY terdedah tiga risiko - Syaza Travel & Tours

Umrah secara DIY terdedah tiga risiko

March 28, 2024 admin 0 Comments
Kerajaan Arab Saudi hanya memberikan visa pelancongan untuk rakyat Malaysia dan Brunei mengerjakan umrah. - Foto hiasan
Kerajaan Arab Saudi hanya memberikan visa pelancongan untuk rakyat Malaysia dan Brunei mengerjakan umrah. – Foto hiasan

 

Kuala Lumpur: Bakal jemaah yang ingin mengerjakan umrah secara sendiri (DIY) yang kini semakin menjadi trend, mungkin terdedah kepada sekurang-kurangnya tiga risiko terutama dalam isu membabitkan kematian, masalah kesihatan dan kes hilang di Tanah Suci.

Difahamkan, sekitar 5,000 jemaah dari negara ini melaksanakan ibadat umrah secara sendiri atau DIY tahun ini dan jumlah itu bakal meningkat apabila visa pelancongan mengerjakan umrah boleh dimohon individu menerusi dalam talian.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata penilaian risiko berkenaan jarang diperhalusi kerana kebanyakan jemaah yang kaedah itu lebih memberi perhatian kepada kos yang didakwa lebih murah berbanding menggunakan agensi.

“Ada macam-macam alasan jemaah pergi dengan diuruskan sendiri. Ada yang inginkan keselesaan, iaitu waktu yang fleksibel tanpa perlu ikut jadual diatur oleh agensi umrah.

“Selain itu, ada yang mahu jimatkan kos dengan menempah hotel dan tiket kapal terbang beberapa bulan lebih awal untuk dapat harga lebih murah.

“Inilah masalahnya bila mereka tak nampak ada perkara yang tak diduga berlaku misalnya dalam kes jemaah hilang, sukar untuk jejaki mereka,” katanya kepada BH.

Teliti risiko kecemasan 

Sehubungan itu, Razali menyarankan bakal jemaah membuat pertimbangan rapi dari segi risiko kecemasan sekiranya membabitkan perjalanan sendirian atau dalam kumpulan kecil.

Ada dua kelompok jemaah yang memilih umrah DIY, pertama yang laksanakan ibadat itu sendiri atau dalam kumpulan kecil yang biasanya membabitkan kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat.

Selain itu, katanya, ada pengusaha umrah tanpa lesen dikesan giat mendapatkan pelanggan untuk menjalankan umrah DIY dengan menawarkan harga lebih rendah.

Mengenai aspek keselamatan, Razali berkata, kelebihan menggunakan agensi berdaftar membolehkan pergerakan jemaah lebih terkawal dengan pemantauan dibuat secara berkala.

“Selain ada yang hilang mengejut atau sakit yang menyukarkan bantuan diberikan, ada yang tidak tahu selok-belok di Tanah Suci dan siapa perlu dihubungi.

“Jika nak minta bantuan konsulat Malaysia di Jeddah pun akan mengambil masa dan ada proses tertentu perlu dilakukan kerana hal ini membabitkan perundangan Arab Saudi.

“Begitu juga jika ada jemaah yang tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan rawatan segera. Memang dalam visa termasuk sekali insurans, tetapi jika ikut rombongan pengendali umrah, mereka ini tahu di hospital mana untuk dihantar serta perkara lain yang perlu diuruskan,” katanya.

Mengenai urusan pemergian tanpa menggunakan agensi, Razali berkata, kebanyakan mereka pergi ke Tanah Suci menggunakan visa pelancong.

“Kalau ikutkan DIY ini salah. Jemaah mesti pergi dengan syarikat umrah berlesen. Tetapi, kebanyakan mereka (jemaah pergi secara DIY) akan mohon visa pelancong. Jadi, bagi tujuan pelancongan, ia tak menjadi kesalahan,” katanya.

Malah, katanya, Kerajaan Arab Saudi juga tiada halangan bagi ibadat umrah secara sendiri membabitkan mana-mana negara dengan proses memohon visa juga lebih mudah secara dalam talian.

“Lebih mudah sekarang kerana visa boleh mohon sendiri secara dalam talian. Malah, mereka yang mohon visa pelancong juga boleh buat umrah.

“Umrah dalam bahasa Arab ialah ziarah, jadi visa pelancong seakan visa umrah juga,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi memberikan visa pelancongan untuk rakyat dua negara sahaja, iaitu Malaysia dan Brunei sekitar 2018 sehingga sekarang untuk mengerjakan umrah.

leave a comment